fb fb fb fb fb

Langgar peraturan haji, puluhan ditahan di Mekah

Foto REUTERS

MEKAH, 26 Mei- Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memaklumkan bahawa Pasukan Keselamatan Haji yang bertugas di pintu masuk ke Mekah menahan lima penduduk dan sembilan warganegaranya kerana melanggar peraturan haji dengan membawa masuk 44 individu tanpa permit haji, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Jawatankuasa pentadbiran bermusim mengeluarkan keputusan terhadap pemandu kenderaan, rakan subahat serta jemaah haji tanpa kebenaran.

Hukuman dikenakan termasuk penjara, denda sehingga SR100,000 (AS$26,660), pendedahan identiti pelaku kepada umum, serta pengusiran ke atas penduduk bukan warganegara dengan larangan memasuki semula Arab Saudi selama 10 tahun selepas menjalani hukuman.

Kementerian juga memulakan prosiding mahkamah untuk merampas kenderaan yang digunakan dan mengenakan denda sehingga SR20,000 (AS$5,332) ke atas individu yang cuba menunaikan haji tanpa permit.

Kementerian Dalam Negeri menyeru semua rakyat dan penduduk agar mematuhi peraturan haji bagi memastikan perjalanan ibadah yang selamat dan teratur untuk semua jemaah.

Sementara itu di Riyadh, Direktorat Jeneral Pasport melaporkan bahawa sehingga Sabtu (24 Mei), seramai 961,903 jemaah tiba di Arab Saudi bagi musim haji 1446H melalui jalan udara, darat dan laut.

Daripada jumlah itu, 912,598 jemaah tiba melalui lapangan terbang, 45,028 melalui pintu masuk darat dan 4,277 melalui laluan laut.

Direktorat berkenaan turut menegaskan komitmennya untuk melancarkan proses kemasukan dengan melengkapkan semua pintu masuk antarabangsa dengan teknologi canggih serta menempatkan kakitangan terlatih dan mahir dalam pelbagai bahasa.- BERNAMA-SPA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM