fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel gegar Beirut

Foto Reuters

BEIRUT, 28 September - Gelombang serangan udara terbaru menghentam pinggir selatan Beirut awal pagi Sabtu apabila Israel memperhebatkan serangan terhadap Hezbollah.

Serangan tersebut dilancarkan selepas serangan besar-besaran ke atas pusat komando pergerakan yang disokong Iran, dipercayai menyasarkan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.

Lebih 20 serangan udara berasingan didengar sebelum subuh. Ribuan penduduk Lubnan meninggalkan rumah di kawasan selatan dan berkumpul di dataran, taman, serta kawasan tepi laut di pusat bandar Beirut.

Sehari sebelumnya, serangan berat juga menggegarkan kawasan selatan Beirut. Tiada pengesahan segera mengenai nasib Nasrallah, namun sumber yang rapat dengan Hezbollah menyatakan beliau tidak dapat dihubungi dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kumpulan itu.

Israel belum mengesahkan sama ada Nasrallah merupakan sasaran, namun seorang pegawai kanan Israel memaklumkan bahawa komander tertinggi Hezbollah menjadi sasaran utama.

“Terlalu awal untuk dipastikan...Kadang-kadang mereka sembunyikan kejayaan kami,” kata pegawai tersebut apabila ditanya mengenai kemungkinan Nasrallah terbunuh.

Sumber lain yang rapat dengan Hezbollah memberitahu bahawa Nasrallah masih hidup, manakala agensi berita Iran, Tasnim, juga melaporkan beliau selamat. Tehran sedang menyemak statusnya, menurut seorang pegawai keselamatan Iran.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan di Perhimpunan Agung PBB bahawa negaranya berhak untuk meneruskan kempen tersebut. “Selagi Hezbollah memilih jalan perang, Israel tiada pilihan dan mempunyai hak untuk menghapuskan ancaman ini serta memastikan keselamatan rakyatnya,” kata Netanyahu.

Beberapa delegasi meninggalkan dewan ketika Netanyahu berucap, namun penyokongnya di galeri bersorak. Netanyahu memendekkan lawatannya ke New York untuk kembali ke Israel.

Serangan pada Jumaat lalu dianggap yang paling kuat oleh Israel ke atas Beirut sepanjang hampir setahun pertempuran dengan Hezbollah.

Pihak berkuasa kesihatan Lubnan mengesahkan enam kematian dan 91 kecederaan dalam serangan tersebut, yang juga merupakan serangan keempat dalam tempoh seminggu.

Angka korban dijangka meningkat, dengan lebih 700 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan sepanjang minggu lalu. Tiada maklumat segera mengenai korban akibat serangan terbaru.

Televisyen Hezbollah, al-Manar, melaporkan tujuh bangunan musnah, dengan sumber keselamatan Lubnan menyatakan kawasan sasaran merupakan tempat biasa pegawai tertinggi Hezbollah.

Beberapa jam selepas serangan, tentera Israel mengarahkan penduduk di beberapa kawasan di pinggir selatan Beirut untuk berpindah.

Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan pelancar peluru berpandu dan tempat penyimpanan senjata yang tersembunyi di bawah kawasan perumahan awam.

Peningkatan konflik sepanjang minggu ini telah menyebabkan sekitar 100,000 orang kehilangan tempat tinggal di Lubnan, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 200,000 orang.

Israel menyatakan bahawa mengembalikan 70,000 pelarian Israel ke rumah mereka adalah antara matlamat utama perang tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN