fb fb fb fb fb

33 maut akibat ribut tropika Helene di tenggara AS

Seorang penduduk tempatan membantu mengeluarkan sebuah kereta yang terkandas di laluan banjir ketika Ribut Tropika Helene melanda pinggir Boone, Carolina Utara/ REUTERS

ATLANTA, 28 September- Sekurang-kurangnya 33 orang maut akibat ribut tropika Helene yang melanda Amerika Syarikat (AS) sejak Jumaat lalu.

Bencana alam itu turut menyebabkan beberapa kawasan di tenggara AS tenggelam dan kerosakan pada empangan, tanah runtuh serta menyebabkan lebih empat juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik.

Di Tennessee, terdapat kebimbangan bahawa sebuah empangan berhampiran bandar Newport mungkin pecah sehingga mendorong pihak berkuasa memindahkan penduduk dari kawasan itu.

Di Carolina Utara, sebuah empangan lain juga hampir gagal berfungsi.

Sebelum bergerak ke utara melalui Georgia dan memasuki Tennessee serta Carolina, ribut itu turut melanda kawasan Big Bend di Florida dengan Taufan Kategori 4 yang kuat, dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam (k/ph).

Ia mengakibatkan kemusnahan besar termasuk menerbalikkan bot di pelabuhan, menumbangkan pokok, menenggelamkan kereta serta banjir di jalan raya.

Bagaimanapun, petang semalam, ribut itu beransur reda dengan kelajuan angin maksimum 55 k/ph, menurut Pusat Taufan Nasional.

Banjir yang teruk di kebanyakan kawasan menyebabkan polis dan bomba melakukan beribu-ribu operasi menyelamat di seluruh negeri yang terjejas.

Ini termasuk di Atlanta, di mana penduduk di sebuah kompleks pangsapuri terpaksa dipindahkan akibat banjir.

Selain itu lebih daripada 50 orang terperangkap di atas bumbung sebuah hospital semalam di Unicoi County, Tennessee, apabila air banjir melimpahi kawasan luar bandar berkenaan.

Pegawai negeri kemudian mengesahkan bahawa kesemua mereka berjaya diselamatkan.

Sementara itu, susulan kenaikan air dari Sungai Nolichucky, ambulans tidak dapat memindahkan pesakit dan mangsa dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Agensi Pengurusan Kecemasan Unicoi County memaklumkan proses pemindahan itu dijalankan menggunakan bot dan helikopter.

Di kawasan lain di Tennessee, Datuk Bandar Cocke County, Rob Mathis, dalam media sosialnya memaklumkan seramai 36,000 penduduk di kawasan berhampiran Newport akan dipindahkan berikutan empangan Walters mengalami kerosakan besar.

Namun, Agensi Pengurusan Kecemasan Tennessee menafikan bahawa empangan Walters yang terletak di sempadan negeri di Carolina Utara, mengalami kerosakan.

Agensi itu berkata, maklumat berkenaan datang daripada Duke Energy iaitu syarikat yang mengendalikan empangan berkenaan.

Jurucakap Duke Energy, Madison McDonald berkata pihaknya sedar dengan keadaan semasa itu dan sedang menyiasat mengenai aduan berkenaan.

Di bahagian barat Carolina Utara, pegawai di Rutherford County memberi amaran kepada penduduk berhampiran Empangan Tasik Lure supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, kerana khuatir empangan mungkin pecah.

Di Buncombe County yang berdekatan, tanah runtuh menyebabkan lebuh raya ditutup, menurut kenyataan pihak berkuasa di X.

Pengarah NHC, Michael Brennan merayu kepada penduduk yang berada di laluan Ribut Helene supaya mematuhi arahan pemindahan kerana lonjakan air akibat ribut itu sangat bahaya dan sukar untuk menjalankan kerja menyelamat.

Saiz Helene adalah luar biasa besar untuk taufan teluk, kata peramal cuaca, walaupun saiz ribut tidak sama dengan kekuatannya, yang berdasarkan kelajuan angin maksimum berterusan.

Beberapa jam sebelum mendarat, angin ribut tropika Helene melanda kawasan seluas 500 km, menurut Pusat Taufan Kebangsaan.

Menurut laman sesawang penjejakan Poweroutage.us. lebih 4.6 juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik tengah hari Jumaat di Florida, Georgia, Carolina dan negeri lain. - REUTERS

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI