GAZA, 14 Julai - Lebih 40 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada Ahad, termasuk di sebuah pasar dan pusat agihan air.
Daripada jumlah tersebut, 11 orang maut di sebuah pasar dan 10 lagi termasuk lapan kanak-kanak terbunuh di kem pelarian Nuseirat.
Tentera Israel mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam serangan dron mengakibatkan peluru tersasar.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, serangan itu berlaku ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Doha masih gagal mencapai persetujuan.
Hamas menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, manakala Israel dilaporkan mahu mengekalkan kawalan ke atas sebahagian wilayah.
Setakat ini, lebih 58,000 rakyat Palestin terbunuh sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
Pertubuhan Bangsa Bersatu turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api kini berada pada tahap kritikal, menjejaskan keperluan harian lebih dua juta penduduk Gaza.-AFP