fb fb fb fb fb

Dua wanita maut, dalam insiden tembakan di Kentucky

Polis berjaya tembak mati suspek - REUTERS

KENTUCKY, 14 Julai – Dua wanita terbunuh dan dua lelaki cedera dalam satu insiden tembakan oleh seorang lelaki di sebuah gereja di Lexington, di sini pada Ahad.

Suspek turut menembak dan mencederakan seorang anggota polis sebelum akhirnya ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Lexington, Lawrence Weathers, kejadian berlaku di Gereja Richmond Road Baptist, di mana dua wanita maut manakala dua lelaki cedera dengan seorang daripadanya kritikal.

Identiti dan umur suspek tidak didedahkan setakat ini.

1407 LNR KENTUCKY SHOOTING 1
Suspek kemudian merampas sebuah kenderaan dan melarikan diri sejauh kira-kira 16 kilometer - Reuters

“Ada hari-hari yang amat sukar seperti ini.

“Kadang-kadang perkara seperti ini berlaku tanpa sebab yang jelas,” katanya dalam satu sidang media.

Suspek dikatakan mula melepaskan tembakan ke arah seorang anggota polis selepas ditahan berhampiran Lapangan Terbang Blue Grass sekitar jam 11:30 pagi di daerah Fayette.

Lokasi kejadian terletak di jalan sekitar lapangan terbang tetapi tidak berkaitan dengan operasi lapangan terbang, jelas pihak polis.

Anggota polis yang cedera kini sedang dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek kemudian merampas sebuah kenderaan dan melarikan diri sejauh kira-kira 16 kilometer ke Gereja Richmond Road Baptist, di mana beliau melepaskan tembakan ke arah orang awam di kawasan gereja berkenaan.

Pihak polis berjaya menjejaki lokasi kenderaan yang dilarikan itu hingga ke gereja berkenaan, sebelum menembak mati suspek.

Motif kejadian masih belum diketahui, namun Ketua Polis berkata terdapat petunjuk bahawa suspek mungkin mengenali beberapa individu yang berada di gereja tersebut. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK