GENEVA, 3 Jun - Serangan terbaharu Israel terhadap orang awam di sekitar lokasi pengagihan bantuan di Gaza, yang mengakibatkan ramai terkorban adalah jenayah perang.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk berkata, pihaknya dimaklumkan serangan di selatan Rafah hari ini telah mengorbankan 27 orang dan jumlah itu dijangka meningkat.
Menurutnya, insiden ini berlaku selepas kejadian serupa pada Ahad lalu, apabila pasukan penyelamat melaporkan 31 orang terbunuh di lokasi sama ketika mangsa dalam perjalanan untuk mengambil bantuan.
"Serangan maut terhadap orang awam yang sedang terdesak untuk mendapatkan sejumlah kecil bantuan makanan di Gaza adalah tidak berperikemanusiaan.
“Untuk hari ketiga berturut-turut, orang awam terbunuh di sekitar tapak pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF). Pagi ini, kami menerima maklumat bahawa puluhan lagi terbunuh dan cedera," katanya dalam satu sidang media hari ini.
GHF, yang disokong oleh Amerika Syarikat, ialah sebuah organisasi baharu yang bekerjasama dengan Israel untuk melaksanakan pengagihan bantuan di Gaza.
PBB tidak bekerjasama dengan yayasan tersebut kerana bimbang ia tidak memenuhi prinsip asas kemanusiaan iaitu berkecuali, tidak memihak, dan bebas.
Turk menyeru agar siasatan segera dan bebas dijalankan ke atas setiap serangan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Serangan yang disasarkan ke atas orang awam adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, dan satu jenayah perang.
“Rakyat Palestin kini dihadapkan dengan pilihan paling kejam: mati akibat kebuluran atau berisiko dibunuh ketika cuba mendapatkan sedikit makanan yang disediakan melalui mekanisme bantuan kemanusiaan yang dimiliterisasi oleh Israel.
“Sistem yang dimiliterisasikan ini membahayakan nyawa dan melanggar piawaian antarabangsa mengenai pengagihan bantuan, seperti yang telah berulang kali diberi amaran oleh PBB,” tegasnya. - AFP