KARACHI, 3 Jun - Pihak berkuasa Pakistan mengesahkan lebih 200 banduan meloloskan diri dari Penjara Malir, susulan gempa bumi yang melanda kawasan berkenaan semalam.
Banduan berkenaan melarikan diri selepas dibenarkan keluar dari sel penjara.
Ketua Pengarah Penjara Wilayah Sindh, Kazi Nazir berkata, keadaan ketika itu sukar dikawal.
“Kami tidak mempunyai cukup anggota untuk mengawal kumpulan sebesar itu pada waktu malam, tetapi kami telah cuba sedaya upaya.
“Kami boleh sahkan tiada banduan berprofil tinggi, warga asing atau rakyat India dalam kalangan mereka. Banduan di sini kebanyakannya terlibat dalam kes kecil dan jenayah ringan,” katanya.
Insiden berkenaan bermula tengah malam Isnin dan berlarutan hingga awal pagi tadi.
Penjara Malir, menempatkan kira-kira 6,000 banduan.
Sementara itu, polis memaklumkan banduan telah merampas senjata daripada pegawai penjara, mengakibatkan kejadian tembak-menembak sebelum mereka memaksa pintu utama dibuka.
Sekurang-kurangnya seorang banduan terbunuh dalam kejadian itu, manakala tiga kakitangan penjara cedera.
Superintenden penjara, Arshad Shah, memberitahu media bahawa hanya terdapat 28 pengawal penjara yang bertugas ketika kejadian berlaku.
Beliau turut mengesahkan bahawa penjara itu tidak dilengkapi dengan kamera keselamatan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut memaklumkan seramai 80 banduan telah berjaya ditangkap semula setakat ini.- REUTERS