GENEVA, 3 Jun - Jumlah penduduk yang melarikan diri dari Sudan sejak bermulanya perang saudara pada 2023 kini telah melepasi angka empat juta.
Pegawai Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), memaklumkan pelarian berkenaan kini ramai yang berdepan masalah keadaan tempat perlindungan yang tidak mencukupi akibat kekurangan dana.
“Sekarang memasuki tahun ketiga, angka 4 juta ini adalah satu penanda yang menyedihkan dan menjadi krisis pemindahan paling dahsyat di dunia,” kata jurucakap UNHCR, Eujin Byun, dalam satu taklimat media di Geneva, hari ini.
Sudan yang berkongsi sempadan dengan tujuh negara termasuk Chad, Mesir, Eritrea, Ethiopia, dan Libya dilanda perang saudara sejak April 2023.
Lebih 800,000 penduduknya melarikan diri ke Chad, namun keadaan tempat perlindungan mereka amat daif akibat kekurangan dana, dengan hanya 14 peratus daripada permohonan pembiayaan dipenuhi.
“Ini adalah krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ia adalah krisis kemanusiaan dan krisis perlindungan berdasarkan keganasan yang dilaporkan oleh para pelarian,” kata Dossou Patrice Ahouansou dari UNHCR dalam taklimat sama.
Ramai pelarian menceritakan pengalaman ngeri mereka ketika melarikan diri, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang cedera dalam satu serangan di kem pelarian Zamzam di Sudan.
Serangan itu meragut nyawa ayah dan dua abangnya, serta menyebabkan kakinya terpaksa dipotong ketika dalam pelarian.
Ibunya pula telah terbunuh dalam serangan lebih awal. - REUTERS