fb fb fb fb fb

Serangan peluru berpandu Rusia di Ukraine ragut empat nyawa

FOTO REUTERS

KIEV, 26 Oktober - Sekurang-kurangnya empat terkorban termasuk seorang kanak-kanak dalam serangan peluru berpandu Rusia di bandar Dnipro, Ukraine, malam tadi.

Manakala seorang remaja dan seorang lagi terbunuh dalam serangan di Kiev serta kawasan sekitarnya, kata pegawai pada Sabtu.

Serangan tersebut berlaku kurang daripada 48 jam selepas Rusia menganjurkan sidang kemuncak tiga hari kumpulan BRICS bagi negara-negara ekonomi sedang pesat membangun di Kazan.

"Selepas semua yang diperkatakan di Kazan, Rusia kembali menyerang", kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Sabtu.

"Ini membuktikan sekali lagi bahawa pertelingkahan tidak boleh dihentikan dengan hanya berbincang, tetapi memerlukan tindakan tegas dalam mempertahankan negara," tambah beliau.

Serangan ke atas Dnipro pada Jumaat menyebabkan empat orang terkorban dan merosakkan beberapa bangunan termasuk sebuah hospital, menurut pihak berkuasa.

20 orang cedera di bandar itu, termasuk empat kanak-kanak, kata Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Sergiy Lysak, di Telegram.

Imej yang dikongsikan oleh gabenor menunjukkan pasukan penyelamat sedang bekerja di atas timbunan runtuhan, sementara imej lain menunjukkan keadaan sebuah bilik hospital dengan tingkapnya yang pecah.

Serangan berasingan pada waktu malam di ibu kota Kiev dan wilayah sekitarnya turut menyebabkan dua orang maut termasuk seorang remaja perempuan yang terbunuh dalam serangan dron, menurut pihak berkuasa wilayah.

TETITIA YUSOFF