fb fb fb fb fb

Serangan Israel di selatan Beirut bunuh ketua unit dron Hezbollah

FOTO REUTERS

BEIRUT, 27 September- Serangan Israel di selatan Beirut pada Khamis mengorbankan ketua unit dron Hezbollah.

Hezbollah yang disokong Iran berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan itu membunuh Mohammed Srur, yang lahir pada tahun 1973.

Tentera Israel sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa jet pejuangnya telah "menyasarkan dan menghapuskan" Srur, mengenal pasti beliau sebagai "komander unit udara Hezbollah."

Ini merupakan serangan keempat dalam seminggu yang menyasarkan komander Hezbollah di kawasan padat penduduk, yang juga merupakan kubu kuat kumpulan itu.

Kementerian kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan menyatakan dua orang terbunuh dalam serangan itu dan 15 lagi cedera, termasuk seorang wanita yang dalam keadaan kritikal.

Srur merupakan lulusan matematik dan merupakan antara penasihat utama yang dihantar oleh Hezbollah ke Yaman untuk melatih anngota Houthi di negara itu, yang juga disokong Iran, menurut sumber yang dekat dengan Hezbollah.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa "tiga peluru berpandu" mensasarkan "sebuah apartmen kediaman dalam bangunan 10 tingkat."

Seorang jurugambar AFP berkata sasaran serangan itu berhampiran bangunan di mana ketua Pasukan Radwan elit Hezbollah, Ibrahim Aqil, dan beberapa komander lain terbunuh dalam serangan pada hari Jumaat lepas.

Kementerian kesihatan Lubnan menyatakan serangan tersebut mengorbankan 55 orang, termasuk tujuh kanak-kanak.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE