QUITO, 26 Disember- Satu serangan bom di tapak pembinaan penjara di Santa Elena, Ecuador, telah mengorbankan seorang individu dalam kejadian yang disifatkan kerajaan sebagai tindakan pengganas.
Menurut kenyataan pejabat Presiden Daniel Noboa, kumpulan bersenjata bertindak masuk secara ganas ke tapak pembinaan penjara itu pada awal pagi Rabu, sebelum meletupkan bahan letupan.
Penjara yang sedang dibina di Juntas del Pacifico itu dijangka menampung 800 banduan dengan kos pembinaan sekitar $52 juta, sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk memisahkan banduan berbahaya daripada banduan lain serta membanteras jenayah terancang.
Kerajaan mengecam serangan itu dan menuduh ia didalangi kumpulan jenayah terancang yang bertujuan "menanam ketakutan, melemahkan negara dan menghalang usaha kerajaan mengembalikan keamanan."
Projek pembinaan itu telah mencetuskan bantahan penduduk tempatan yang mendakwa ia menjejaskan biodiversiti kawasan tersebut.
Minggu lalu, kerajaan turut membatalkan rancangan membina penjara kedua di Archidona susulan protes besar-besaran dan memilih untuk memindahkan projek itu ke Salinas.
Ecuador, dengan populasi 17 juta, kini berdepan gelombang keganasan yang berpunca daripada jenayah terancang, sekali gus menjadi antara negara paling ganas di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.- AFP