MAUI, 26 Disember- Mayat seorang individu ditemukan dalam ruang roda pesawat United Airlines sebaik mendarat di Pulau Maui, Hawaii, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu pada Rabu.
Mayat tersebut didapati berada di salah satu ruang yang menempatkan gear pendaratan pesawat selepas Penerbangan United 202 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O'Hare tiba di Lapangan Terbang Kahului pada Selasa petang.
Menurut United Airlines, ruang roda tersebut hanya boleh diakses dari luar pesawat dan masih belum jelas bagaimana atau bila individu itu memasuki ruangan tersebut.
United menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden tersebut, bagaimanapun Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) belum memberikan sebarang komen.
Stowaway atau individu yang menyelinap masuk ke ruang roda atau ruang kargo pesawat sering berdepan risiko suhu ekstrem antara -50 hingga -60 darjah Celsius serta kekurangan oksigen.
Walaupun kadar kematian bagi situasi itu adalah tinggi, terdapat beberapa kes di mana individu berjaya bertahan.
Tahun lalu, seorang individu ditemui hidup di ruang bawah pesawat syarikat penerbangan Algeria di Paris.
Pada Januari 2022, seorang lagi berjaya bertahan di ruang roda hadapan pesawat kargo Cargolux yang tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam dari Afrika.- REUTERS