TEHRAN, 19 Jun - Setiap serangan balas Iran yang dilancarkan ke atas Israel telah diselaraskan pada tahap tertinggi dan ia bersesuaian dengan ancaman serta serangan ketenteraan dari negara haram itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, memberitahu Tehran pada setiap masa mengekalkan pematuhan yang ketat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan memberi keutamaan meminimumkan sebarang kerosakan.
"Serangan balas Tehran secara eksklusifnya menyasarkan fasiliti ketenteraan Israel yang sah. Ini termasuk pusat perintah dan kawalan, pemasangan tentera strategik dan infrastruktur operasi yang terkait secara langsung dengan serangan yang tidak sah dari segi undang-undang," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu lalu.
Selain itu, Esmaeil turut menggesa masyarakat dunia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan rejim Israel ke atas kedaulatan Tehran.
"Isu kedaulatan bukan perkara yang boleh dibawa berunding. Pemasangan program nuklear yang mengikut garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tidak sewajarnya menjadi sasaran.
"Israel juga tidak boleh dibenarkan menulis semula kod pematuhan undang-undang antarabangsa menerusi kesalahan pencabulan yang berulang serta tindakan provokasi yang boleh dijangka," tegas beliau.
Iran juga mempertahankan serangan balasnya ke atas Tel Aviv kerana ia merupakan hak asas yang diperuntukkan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Iran mempunyai hak mempertahankan diri selari dengan Artikel 51 Piagam PBB. Hak asas ini membenarkan sesebuah negara mempertahankan kedaulatan serta intergriti wilayahnya sekiranya berdepan dengan serangan ketenteraan," katanya.