MUMBAI, 20 Julai- Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas tanah runtuh yang diakibatkan hujan lebat di negeri Maharashtra di India manakala berpuluh-puluh lagi dikhuatiri terperangkap, kata pegawai pada Khamis.
Pasukan penyelamat di daerah Raigad mencari penduduk di dalam timbunan tanah dan runtuhan.
Timbalan Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis, berkata 10 orang maut dalam tanah runtuh itu.
"Lebih 200 orang tinggal di sana, kami telah menyelamatkan kira-kira 70 orang setakat ini. Daripadajumlah itu 21 cedera," kata Fadnavis.
Pegawai polis Harish Kalsekar memberitahu AFP, hampir 50 orang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.
"Hujan dan bentuk muka bumi berbukit, jadi alat berat tidak boleh dialihkan ke sana," kata Kalsekar.
Menteri Dalam Negeri Amit Shah berkata keutamaan adalah "untuk memindahkan orang ramai dari tempat kejadian dan merawat mereka yang cedera dengan segera".
India dilanda hujan sejak permulaan musim tengkujuh pada bulan Jun mengakibatkan banjir serta tanah runtuh dan telah mengorbankan ramai penduduk.
Hujan monsun amat penting bagi mengisi semula sungai dan air bawah tanah, namun penerimaan hujan secara berlebihan telah menyebabkan banjir dan kemusnahan setiap tahun.
Menurut pakar, perubahan iklim di seluruh dunia juga menyebabkan berlakunya cuaca ekstrem.- AFP
(Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) India di kampung Irshalwadi/AFP)