fb fb fb fb fb

Sepanyol lapor kematian kedua berkaitan cacar monyet

(FOTO REUTERS)

MADRID, 30 Julai- Sepanyol pada Sabtu melaporkan kematian kedua berkaitan cacar monyet, menjadikan jumlah kematian yang di luar Afrika meningkat kepada tiga.

Semalam, Sepanyol dan Brazil masing-masing mengumumkan apa yang dipercayai kematian pertama berkaitan virus itu di negara mereka.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada cacar monyet sebenarnya menyebabkan mana-mana daripada tiga kematian itu, dengan pihak berkuasa Sepanyol masih menjalankan bedah siasat dan pihak berkuasa Brazil mengatakan pesakitnya yang meninggal dunia mengalami keadaan serius yang lain.

Lebih 18,000 kes telah dikesan di seluruh dunia di luar Afrika sejak awal Mei, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

(Sepanyol lapor kematian kedua berkaitan cacar monyet/File AFP)

Sepanyol adalah salah satu negara yang paling teruk dilanda cacar monyet dengan 4,298 orang dijangkiti virus itu, menurut Kementerian Kesihatan Sepanyol.

Kementerian Kesihatan Brazil pula merekodkan hampir 1,000 kes cacar monyet, kebanyakannya di negeri Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Sementara itu Pejabat Eropah WHO memberi amaran bahawa lebih banyak kematian berkaitan cacar monyet dijangka boleh berlaku.

"Dengan penularan cacar monyet yang berterusan di Eropah, kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak kematian," kata Catherine Smallwood, Pegawai Kecemasan Kanan di WHO Eropah, dalam satu kenyataan. -AFP

Media Baharu