BARCELONA, 2 Jun- Sepanyol mencatatkan hari paling panas dalam sejarah bagi bulan Mei pada Jumaat lalu, dengan purata suhu melepasi 24 darjah Celsius.
Menurut agensi kaji cuaca negara (AEMET) pada Isnin, purata suhu di seluruh negara mencapai 24.08 darjah Celsius, berdasarkan data awal.
Ini sekali gus memecahkan rekod terdahulu sebanyak 23.73 darjah Celsius yang dicatat pada 21 Mei 2022.
"Ini adalah hari paling panas bagi bulan Mei di tanah besar Sepanyol sejak rekod bermula pada tahun 1950," tulis AEMET di media sosial.
Purata suhu pada Sabtu pula ialah 23.91 darjah Celsius, menjadikannya hari kedua terpanas bagi bulan Mei dalam sejarah negara itu.
Kejadian itu berpunca daripada jisim udara panas yang bergerak dari utara Afrika, menyebabkan suhu di beberapa kawasan meningkat lebih 10 darjah Celsius daripada purata kebiasaan bagi waktu ini.
Para saintis berkata perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia telah meningkatkan kekerapan, tempoh dan keterukan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba.
Di wilayah selatan Andalusia, suhu melebihi 40 darjah Celsius direkodkan di beberapa kawasan.
Walaupun luar biasa, ia bukan kali pertama Sepanyol mengalami suhu panas melampau pada bulan Mei.
Menurut AEMET, kejadian serupa turut berlaku pada tahun 2015 dan 2022.
"Keadaan ini mencerminkan satu senario di mana cuaca seperti musim panas kini datang lebih awal dan semakin kerap, walaupun musim bunga belum berakhir," kata jurucakap AEMET, Ruben del Campo.
Tiga tahun kebelakangan ini merupakan yang paling panas dalam sejarah Sepanyol, yang kini juga sedang keluar dari kemarau berpanjangan.- AFP