IRELAND UTARA, 2 Jun- Britain akan meningkatkan bilangan kapal selam penyerang berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada usaha berskala besar untuk memperkukuh pertahanan negara menghadapi ancaman moden.
Perkara itu dimaklumkan oleh kerajaan pada Isnin menjelang pembentangan semakan dasar pertahanan negara.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer kini berusaha memulihkan keupayaan ketenteraan negaranya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Eropah agar memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap keselamatan benua itu.
Laporan Kajian Strategik Pertahanan yang akan diterbitkan turut menyeru agar angkatan tentera Britain bersedia berada dalam tahap kesiapsiagaan perang.
Ini termasuk merangka pelaburan besar dalam teknologi pertahanan bagi menangani landskap ancaman keselamatan yang kian berubah.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, Britain merancang untuk membina sehingga 12 kapal selam penyerang generasi baharu yang dikuasakan oleh tenaga nuklear tetapi hanya membawa senjata konvensional.
Ia bagi menggantikan armada sedia ada yang kini terdiri daripada tujuh buah kapal selam menjelang lewat tahun 2030.
Britain juga mengendalikan armada berasingan kapal selam bersenjata nuklear.
Buat pertama kali, kerajaan turut mengumumkan bahawa program sedia ada untuk membangunkan kepala peledak nuklear baharu sebagai pengganti model sedia ada akan menelan belanja £15 bilion (kira-kira RM90 bilion).
Kapal selam generasi baharu itu akan dibangunkan secara bersama oleh Britain, AS dan Australia menerusi pakatan keselamatan tiga hala dikenali sebagai AUKUS.- REUTERS