VILNIUS, 2 Jun- Setiausaha Agung NATO yang baharu, Mark Rutte menyeru negara-negara Eropah untuk memperkukuh keupayaan pertahanan bagi berdepan dengan ancaman Rusia serta kumpulan pengganas.
Tambahnya, beliau menjangkakan bahawa sidang kemuncak NATO yang dijadual berlangsung di The Hague hujung bulan ini, akan menghasilkan peningkatan dalam pengeluaran industri pertahanan dan pelaburan ketenteraan.
Rutte berkata demikian dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Negara-Negara B9 dan rantau Nordik di Vilnius, Lithuania.
"Biarpun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan pengurangan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di Eropah dalam kerangka NATO, saya menjangkakan kehadiran tentera AS secara konvensional akan kekal sangat kuat di benua ini," katanya.
Sidang kemuncak di Vilnius itu melibatkan penyertaan negara anggota B9 iaitu Poland, Romania, Lithuania, Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Hungary, Latvia dan Slovakia serta negara-negara Nordik iaitu Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut hadir dalam rundingan berkenaan, memperkukuh kerjasama antara NATO dan Kiev ketika perang Rusia-Ukraine terus berlarutan.- REUTERS