fb fb fb fb fb

Karol Nawrocki, Presiden Poland yang baharu

Presiden Poland yang baharu, Karol Nawrocki/Reuters

WARSAW, 2 Jun- Calon pembangkang nasionalis, Karol Nawrocki, memenangi pilihan raya presiden Poland dengan kelebihan tipis, menurut keputusan rasmi yang diumumkan pada Isnin.

Ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada usaha kerajaan pusat yang pro-Eropah pimpinan Perdana Menteri, Donald Tusk.

Menurut data suruhanjaya pilihan raya, Nawrocki, memperoleh 50.89 peratus undi, cukup untuk membuka jalan kepada kebuntuan politik baharu di Warsaw.

Beliau dijangka menggunakan kuasa veto presiden untuk menggagalkan dasar liberal yang ingin dilaksanakan oleh Tusk.

Ini termasuk usaha kerajaan untuk membatalkan reformasi kehakiman yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu pimpinan parti nasionalis Undang-Undang dan Keadilan (PiS).

Presiden semasa, Andrzej Duda, sekutu rapat PiS telah menyekat banyak inisiatif reformasi yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Tusk, dan Nawrocki dijangka meneruskan corak yang sama.

Pesaing Nawrocki, Datuk Bandar Warsaw yang berhaluan liberal, Rafal Trzaskowski, mewakili parti pemerintah Civic Coalition (KO), memperoleh 49.11 peratus undi.

Kedua-dua calon sebelum itu telah mengisytiharkan kemenangan sejurus selepas tinjauan keluar undi lewat malam Ahad yang menunjukkan persaingan sangat sengit.

Suruhanjaya pilihan raya turut melaporkan kadar keluar mengundi mencecah 71.31 peratus, satu rekod baharu bagi pusingan kedua pilihan raya presiden di negara itu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM