fb fb fb fb fb

Banjir kilat landa Yunnan, hampir 4,800 penduduk terjejas

Foto Reuters

YUNNAN, 2 Jun- Hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di wilayah Yunnan, China menyebabkan puluhan rumah rosak, bangunan musnah dan hampir 4,800 penduduk terjejas, lapor media rasmi negara itu pada Isnin.

Rakaman yang disiarkan China Central Television (CCTV) menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan penduduk di daerah Deqin, yang terletak dalam Wilayah Autonomi Tibet Diqing, selepas limpahan air menyebabkan jalan raya runtuh dan tidak boleh dilalui.

Media tempatan melaporkan bahawa ratusan penduduk di Deqin telah diselamatkan atau dipindahkan dari kediaman dan premis perniagaan mereka.

Sementara itu, di Wilayah Autonomi Lisu Nujiang, hujan lebat berterusan membadai kawasan penempatan penduduk, menyebabkan sungai melimpah hingga menenggelamkan rumah dan tanaman.

Kerja-kerja membaik pulih jalan raya serta talian elektrik sedang dijalankan, manakala pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang di kedua-dua wilayah terbabit.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM