MANILA, 2 Jun- Filipina dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk memulakan dialog keselamatan dan pertahanan bagi menangani ancaman baharu seperti serangan siber serta campur tangan asing.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo bersama Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas dalam sidang akhbar pada Isnin.
Keberadaan Kallas di Manila bagi mengadakan pertemuan rasmi termasuk kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
"Kami berharap menerusi dialog keselamatan dan pertahanan ini, kedua-dua pihak akan terus proaktif dan bersatu dalam menghadapi ancaman keselamatan rentas sempadan, termasuk serangan siber, campur tangan asing serta manipulasi maklumat," kata Manalo.
Kallas menjelaskan bahawa dialog baharu itu akan menjadi satu platform khusus untuk memperkukuh kerjasama pertahanan, berkongsi kepakaran dalam isu keselamatan dan meneroka inisiatif bersama antara blok serantau itu dan Filipina.
"Kami menolak sebarang perubahan unilateral terhadap status quo, termasuk penggunaan paksaan," tegas Kallas ketika ditanya mengenai pendirian EU berhubung tindakan China di kawasan seperti Taiwan dan Laut China Selatan.
China secara berterusan mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya, termasuk kawasan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik beberapa negara Asia Tenggara seperti Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.- REUTERS