NEW DELHI, 30 Oktober – Seorang wanita dilaporkan maut di pantai timur India selepas Taufan Montha melanda sekitar tengah malam, membawa bersama hujan lebat dan angin kencang yang turut merosakkan tanaman serta tiang utiliti, menurut pegawai pada Rabu.
Menurut Jabatan Meteorologi India, hujan sangat lebat dijangka melanda negeri-negeri pesisir seperti Andhra Pradesh, Odisha, Telangana dan West Bengal, dengan kelajuan angin mencecah 90 kilometer sejam (56 batu sejam).
Taufan tersebut dijangka melemah menjadi tekanan kuat (deep depression) menjelang lewat hari.
Pegawai tempatan memaklumkan, seorang wanita berusia 48 tahun maut di Daerah Konaseema, Andhra Pradesh, selepas sebatang pokok palma tumbang dan menghempap mangsa.
Setakat malam Selasa, kerajaan melaporkan kerosakan ke atas lebih 38,000 hektar tanaman, selain beberapa tiang elektrik dan talian kuasa di negeri tersebut.
Usaha kini sedang dijalankan bagi memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Rakaman video oleh Agensi Berita ANI, yang dimiliki sebahagiannya oleh Reuters, menunjukkan anggota penyelamat di Andhra Pradesh sedang membaiki tiang elektrik rosak dan membersihkan jalan sementara hujan masih berterusan.
Dalam perkembangan berkaitan, salji luar musim yang dikaitkan dengan perubahan cuaca berpunca daripada taufan berkenaan telah mendorong pihak berkuasa di kawasan Tibet berhampiran Gunung Everest untuk menghentikan sementara akses pelawat ke gunung tertinggi dunia itu, menurut satu notis rasmi yang dikeluarkan. -REUTERS