BELGRADE, 24 November-Seorang maut, manakala empat yang lain cedera selepas sebutir bom tangan meletup di sebuah majlis keramaian di selatan Croatia dekat bandar Knin, menurut polis pada Ahad.
Seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai membawa sebutir bom tangan dari sebuah bilik tidur ketika majlis keramaian pada Sabtu sebelum menyerahkannya kepada lelaki lain, kata pihak berkuasa.
"Pasukan penyiasat dan unit skuad pemusnah bom mengesahkan letupan berpunca daripada bom tangan jenis M75", kata polis.
Pengarah Hospital Knin, Tatijana Sipalo Ilic, memaklumkan bahawa mangsa yang cedera mengalami kecederaan parah namun berada dalam stabil.
Sementara itu, Datuk Bandar Knin, Marijo Cacic, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar buat bandar tersebut.
Knin, yang pernah menjadi medan pertempuran utama semasa perang 1990-an selepas kejatuhan Yugoslavia, masih berdepan ancaman senjata dan bahan letupan yang tertinggal.
Bagi menangani risiko berkenaan, polis Croatia telah melancarkan kempen kebangsaan iaitu "Kurangkan Senjata, Kurangkan Tragedi" untuk menggalakkan orang ramai menyerahkan senjata dan peluru haram.
Setakat tahun ini, polis Knin telah mengumpul 5,091 senjata, peluru dan bahan letupan.
Antaranya termasuk 33 senjata api, 4,986 peluru, 32 bahan letupan, dan 18.4 kilogram bahan peledak.
Selain itu, 60 senjata api, 999 peluru, 134 alat piroteknik, dan 1.5 kilogram bahan letupan turut dirampas.-AFP