fb fb fb fb fb

Nuklear: Iran bakal adakan rundingan bersama Negara Eropah di Geneva

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian / Foto REUTERS

DUBAI, 24 November-Iran dijangka mengadakan rundingan mengenai program nuklear kontroversinya bersama tiga kuasa Eropah pada 29 November di Geneva, menurut laporan agensi berita Kyodo pada Ahad.

Perbincangan tersebut diadakan beberapa hari selepas badan pemantau atom PBB meluluskan resolusi terhadap Tehran.

Resolusi tersebut, yang dicadangkan oleh Britain, Perancis, Jerman, dan Amerika Syarikat, menerima tindak balas tegas daripada Iran.

Pihak berkuasa Iran bertindak dengan mengaktifkan sejumlah besar mesin pemprosesan baharu dan canggih untuk mempercepatkan proses pengayaan uranium.

Laporan Kyodo turut menyebut bahawa kerajaan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, sedang mencari penyelesaian bagi isu nuklear menjelang pelantikan Presiden baharu AS, Donald Trump, pada Januari.

Seorang pegawai kanan Iran yang mengesahkan pertemuan itu, menyatakan bahawa Tehran sentiasa percaya isu nuklear harus diselesaikan melalui diplomasi.

"Iran tidak pernah meninggalkan rundingan," katanya.

Pada 2018, pentadbiran Trump ketika itu menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 dengan enam kuasa besar dan mengenakan semula sekatan terhadap Iran.

Tindakan berkenaan menyebabkan Tehran melanggar had perjanjian dengan membina semula stok uranium diperkaya, memperhalusnya pada tahap lebih tinggi, dan memasang mesin pemprosesan lebih canggih.

Walaupun rundingan tidak langsung antara pentadbiran Presiden Joe Biden dan Tehran untuk menghidupkan semula perjanjian itu gagal, Trump memberi jaminan untuk menghidupkan semula perjanjian tersebut dalam kempen pilihan raya September lalu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD