BUCHAREST, 24 November-Rakyat Romania memulakan pengundian pada Ahad dalam pusingan pertama pilihan raya presiden yang mungkin membuka peluang kepada ahli politik sayap kanan, George Simion, untuk meraih kemenangan.
Tumpuan utama pengundi adalah kos sara hidup yang tinggi dan sokongan negara itu terhadap Ukraine.
Tinjauan pendapat menunjukkan Perdana Menteri Marcel Ciolacu, 56, dari Parti Demokratik Sosial (PSD), parti terbesar di Romania, berkemungkinan mara ke pusingan kedua pada 8 Disember depan.
Simion, 38, dari Alliance for Uniting Romanians, dijangka menjadi pencabar utamanya.
Setakat pukul 10:45 waktu tempatan, sekitar 3.7 juta pengundi, atau 20.7% daripada pengundi berdaftar, telah keluar mengundi.
Pengundian dijadualkan berakhir pada pukul 7.00 waktu tempatan, dengan keputusan awal dijangka menyusul selepas itu.
Pengundi Romania di luar negara, mula mengundi pada Jumaat.
Para penganalisis menjangkakan Ciolacu akan menang dalam pusingan kedua, memanfaatkan sokongan pengundi moderat dan pengalaman beliau mentadbir Romania semasa perang berlaku di negara jiran.
Namun, persaingan Ciolacu-Simion boleh menggerakkan sokongan pengundi kepada Elena Lasconi, pemimpin parti pembangkang Save Romania Union, yang kini berada di tempat ketiga dalam tinjauan pendapat.
Simion menggambarkan pilihan raya ini sebagai pertarungan antara kelas politik lama yang tunduk kepada kepentingan luar di Brussels dan dirinya, seorang pendatang luar yang mempertahankan ekonomi dan kedaulatan Romania.
Beliau menentang bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan menyokong pelan damai seperti yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat bakal dilantik, Donald Trump, yang menjadi idolanya.
"Kami mahu keamanan. Perang mesti berakhir agar kerisauan kami hilang," kata Valentin Ion, 76, selepas mengundi di Bucharest.
"Ahli politik perlu lebih memahami dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan", katanya.
Romania kini mempunyai kadar penduduk miskin paling tinggi di EU .
Kerajaan gabungan Ciolacu dari PSD dan Liberal telah menaikkan gaji minimum dan meningkatkan kadar pencen sebanyak dua kali tahun ini.
Namun, perbelanjaan belanjawan yang tinggi serta defisit mengekalkan kadar inflasi negara itu pada tahap tinggi.-REUTERS