ISLAMABAD, 24 November-Ibu Negara Pakistan, Islamabad, dikenakan sekatan keselamatan ketat pada Ahad menjelang protes besar-besaran oleh penyokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan, yang menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri tersebut dari penjara.
Lebuhraya utama menuju ke Islamabad, di mana penyokong Khan dari parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) dijangka berkumpul berhampiran parlimen, telah disekat dengan kontena penghantaran.
Jalan-jalan utama di dalam bandar turut ditutup, manakala pasukan polis lengkap dengan peralatan rusuhan dikerahkan.
Perkhidmatan telefon mudah alih turut digantung.
Polis Islamabad mengumumkan larangan terhadap sebarang bentuk perhimpunan di bawah peruntukan undang-undang.
NetBlocks, badan pemantau internet global, melaporkan bahawa perkhidmatan WhatsApp telah disekat menjelang protes.
Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa, Ali Amin Gandapur, yang dijangka memimpin konvoi terbesar memasuki Islamabad menggesa penyokong berkumpul di pintu masuk zon merah bandar, dikenali sebagai "D Chowk.
Zon merah itu menempatkan bangunan parlimen, pejabat kerajaan penting, serta kedutaan asing.
"Imran Khan meminta kami bertahan di situ sehingga semua tuntutan kami dipenuhi," katanya dalam mesej video pada Sabtu.
Antara tuntutan PTI termasuk pembebasan pemimpin parti, termasuk Imran, dan peletakan jawatan kerajaan semasa yang didakwa memenangi pilihan raya secara penipuan.
Imran Khan telah dipenjarakan sejak Ogos tahun lalu dan berdepan pelbagai tuduhan, termasuk rasuah dan hasutan keganasan.
Namun, beliau dan PTI menafikan semua tuduhan tersebut.
"Protes berterusan ini merosakkan ekonomi dan mencetuskan ketidakstabilan.
"Kami mahu pemimpin politik duduk bersama dan menyelesaikan masalah ini," kata Muhammad Asif, 35, penduduk Islamabad, di hadapan sebuah pasar yang ditutup.
Protes PTI terakhir di Islamabad pada Oktober lalu bertukar ganas dengan seorang anggota polis terbunuh, manakala puluhan pegawai keselamatan cedera. Sementara ramai penunjuk perasaan ditahan.-REUTERS.