fb fb fb fb fb

Krisis di Asia: Rusia dakwa AS jadikan Taiwan sebagai kambing hitam

Foto REUTERS

MOSCOW, 24 November-Rusia mendakwa Amerika Syarikat menjadikan Taiwan sebagai kambing hitam untuk mencetuskan krisis di Asia.

Kenyataan tersebut dibuat Timbalan Menteri Luar Rusia, Andrei Rudenko, dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita TASS pada Ahad.

Rusia turut sekali lagi menyatakan sokongannya terhadap pendirian China mengenai Taiwan.

“Kami melihat Washington, melanggar prinsip ‘Satu China’ yang diiktirafnya, semakin memperkukuh hubungan ketenteraan-politik dengan Taipei atas alasan mengekalkan ‘status quo’ dan meningkatkan bekalan senjata,” kata Rudenko.

Beliau menambah bahawa tindakan AS itu bertujuan memprovokasi Republik Rakyat China (PRC) dan mencetuskan krisis di Asia demi kepentingan sendiri.

Namun, laporan itu tidak menyebut secara terperinci mengenai hubungan yang dimaksudkan.

China menganggap Taiwan, yang ditadbir secara demokratik, sebagai wilayahnya, tetapi kerajaan Taiwan menolak tuntutan tersebut. Amerika Syarikat, walaupun tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, merupakan sekutu utama dan pembekal senjata terbesar pulau itu.

Setakat ini, Jabatan Negara AS belum memberikan tindak balas terhadap kenyataan Rudenko.

Pada September lalu, Presiden Joe Biden meluluskan bantuan ketenteraan bernilai AS$567 juta kepada Taiwan, tindakan yang dikritik oleh Rusia sebagai usaha sengaja AS untuk memperburukkan keadaan di sekitar Taiwan.

China dan Rusia memperkukuh hubungan dengan mengisytiharkan perkongsian “tanpa had” pada Februari 2022, sebelum Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine.

Pada Mei tahun lalu, Presiden Vladimir Putin dan Presiden Xi Jinping berikrar untuk memulakan “era baharu” dalam kerjasama mereka, sambil mengecam AS sebagai kuasa hegemon yang menyemarakkan kekacauan di seluruh dunia.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD