fb fb fb fb fb

Seorang maut akibat serangan Rusia di Odesa

(Foto oleh Kementerian Pertahanan Rusia, menunjukkan kapal peluru berpandu Ivanovets
melancarkan roket semasa latihan di Laut Hitam pada Ahad / REUTERS)

KIEV, 23 Julai- Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lebih 15 cedera dalam serangan Rusia ke atas bandar pelabuhan Odesa di selatan Ukraine, kata gabenor wilayah itu pada Ahad.

"Malangnya, kami mempunyai seorang orang awam terbunuh akibat serangan pada waktu malam oleh Rusia di Odesa," kata Oleg Kiper di Telegram.

Terdahulu Kiper telah melaporkan "18 mangsa, termasuk empat kanak-kanak," dalam serangan Rusia pada pukul 3.00 pagi.

"14 orang dimasukkan ke hospital di bandar raya ini, tiga daripadanya adalah kanak-kanak," katanya.

Serangan itu juga telah menyebabkan "kerosakan kepada infrastruktur awam, bangunan kediaman dan institusi keagamaan", tambahnya.

Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak, mengulangi gesaan Kiev untuk dibekalkan lebih banyak peluru berpandu dan sistem pertahanan selepas serangan ke atas Odesa.

"Musuh mesti dilucutkan keupayaan untuk menghukum orang awam dan infrastruktur. Lebih banyak sistem pertahanan peluru berpandu, serta ATACMS akan membantu Ukraine," katanya di Telegram, merujuk kepada peluru berpandu taktikal jarak jauh yang Kiev mahu Washington bekalkan.

Odesa telah dibom beberapa kali sejak permulaan pencerobohan, dan pada Januari agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO menetapkan pusat bersejarah bandar itu sebagai tapak Warisan Dunia yang kini dalam bahaya.

Bandar itu diserang berulang kali sejak Moscow menarik diri daripada perjanjian eksport bijirin minggu lalu.

Ukraine telah menuduh Rusia menyasarkan bekalan bijirin dan infrastruktur penting untuk perjanjian Laut Hitam.-AFP


(Foto menunjukkan sebuah gudang bijirin musnah akibat
serangan peluru berpandu Rusia di Odesa pada Ahad / REUTERS)

Media Baharu