fb fb fb fb fb

Seorang lagi pemain bola sepak Ecuador dibunuh

Jonathan Gonzalez

QUITO, 20 September- Pemain bola sepak Ecuador, Jonathan Gonzalez maut ditembak pada Jumaat menjadikannya atlet ketiga dibunuh di negara itu sejak awal bulan ini, menurut pihak polis.

Pemain berusia 31 tahun yang digelar "Speedy" Gonzalez itu mengalami kecederaan parah akibat tembakan dalam satu serangan di sebuah rumah di wilayah pesisir Esmeraldas bersempadan dengan Colombia yang sering bergolak akibat perebutan kumpulan dadah.

Seorang lagi mangsa yang tidak dikenali turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Polis bagaimanapun tidak menyatakan motif pembunuhan tersebut.

Ecuador yang terletak di antara dua pengeluar kokain terbesar dunia, Colombia dan Peru kini menjadi laluan keluar utama bagi 70 peratus bekalan dadah berkenaan.

Kehadiran kumpulan jenayah turut menyebabkan kadar pembunuhan melonjak daripada enam kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018 kepada 47 pada 2023, sebelum menurun kepada 38 tahun lalu.

Pada 10 September lalu, dua pemain kelab divisyen dua Exapromo Costa FC, Maicol Valencia dan Leandro Yepez turut menjadi mangsa tembakan di bandar pantai Manta.

Valencia maut di lokasi kejadian, manakala Yepez meninggal dunia dua hari kemudian akibat kecederaan.

Jonathan Gonzalez pernah beraksi bersama kelab Olimpia di Paraguay dan Leon di Mexico sebelum mewakili kelab divisyen dua 22 de Julio FC.

Persekutuan Bola Sepak Ecuador (FEF) dan beberapa kelab tempatan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA