fb fb fb fb fb

Semua negara digesa laksana sistem amaran awal bencana - Guterres

Foto REUTERS

GENEVA, 22 Oktober - Semua negara digesa supaya melaksanakan sistem amaran bencana untuk melindungi penduduk daripada cuaca ekstrem.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika berucap pada persidangan Pertubuhan Meteorologi Sedunia di Geneva, Switzerland sempena ulang tahun ke-74 agensi itu.

Beliau dalam ucapannya menggalakkan semua negara untuk menggerakkan pembiayaan bagi membolehkan sistem pengawasan global yang boleh berfungsi sebagai sistem amaran awal.

Guterres berkata, sistem itu memberi petani kuasa untuk melindungi tanaman dan ternakan mereka, membolehkan keluarga berpindah dengan selamat, dan melindungi seluruh komuniti daripada kemusnahan.

"Menerima notis 24 jam sebelum kejadian berbahaya boleh mengurangkan kerosakan sehingga 30%," ujarnya.

Lebih 60% negara telah memperkenalkan sistem amaran awal bahaya berbilang sejak Guterres melancarkan inisiatif tersebut pada tahun 2022 untuk memastikan semua negara menyediakan sistem tersebut menjelang 2027.

Dalam tempoh lima dekad yang lalu, cuaca, air dan bahaya berkaitan iklim telah membunuh lebih daripada 2 juta orang, dengan 90% daripada kematian tersebut berlaku di negara membangun.

Menurutnya, negara membangun terhalang dalam melabur dalam sistem amaran awal, kesan daripada pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan menanggung beban hutang.

Beliau menggesa negara-negara yang bermesyuarat pada Persidangan Perubaham Iklim di Brazil bulan depan mencapai kata sepakat untuk menyediakan dana $1.3 trilion Dolar setiap tahun bagi membiayai negara membangun menjelang 2035.

Guterres juga menyeru semua negara merangka pelan tindakan iklim negara baharu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sepanjang dekad akan datang dan mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius. -REUTERS

EMMI NORALIZA ADNAN