fb fb fb fb fb

ICJ perintah Israel permudah akses bantuan kemanusiaan ke Gaza

Mahkamah Keadilan Antarabangsa bersidang di The Hague / Foto REUTERS

THE HAGUE, 22 Oktober - Mahkamah Keadilan Antarabangsa, (ICJ) hari ini memutuskan bahawa Israel ada kewajipan untuk memudahkan akses bantuan ke Gaza, dengan menekankan bahawa rejim Zionis perlu menyediakan rakyat Palestin dengan keperluan asas yang penting untuk terus hidup.

Keputusan oleh ICJ ditunggu-tunggu ketika agensi bantuan antarabangsa sedang bergelut untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan ke Gaza, susulan gencatan senjata rapuh yang dipersetujui, awal bulan ini.

Pendapat Penasihat ICJ tidak mengikat di sisi undang-undang tetapi sangat berpengaruh kerana ia datang dari sumber yang bereputasi dan berdasarkan alasan undang-undang dan prinsip etika yang kukuh.

Presiden ICJ, Yuji Iwasawa berkata, Israel berada bawah kewajipan untuk bersetuju dan memudahkan skim bantuan yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan entitinya.

Ini termasuk Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang telah dilarang oleh rejim Zionis untuk beroperasi selepas menuduh beberapa kakitangannya bersekongkol dengan Hamas dalam serangan 7 Oktober 2023.

ICJ memutuskan bahawa Israel gagal membuktikan dakwaan tersebut.

Iwasawa juga berkata, sebagai kuasa pendudukan, adalah satu kewajipan kepada rejim Zionis untuk memastikan keperluan asas penduduk tempatan, termasuk bekalan yang penting untuk kelangsungan hidup mereka.

"Pada masa yang sama, Israel juga berada bawah kewajipan negatif untuk tidak menghalang penyediaan bekalan ini," menurut mahkamah.

ICJ juga mengingatkan kewajipan Israel bawah undang-undang antarabangsa untuk tidak menggunakan kelaparan sebagai kaedah peperangan.

Israel tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu tetapi seorang pegawainya memberitahu media sebelum prosiding perbicaraan berlangsung bahawa ia adalah "pencabulan undang-undang antarabangsa".

Pegawai itu menambah bahawa Israel "bekerjasama dengan organisasi antarabangsa dan agensi PBB lain mengenai Gaza, tetapi tidak akan bekerjasama dengan UNRWA." -AFP

EMMI NORALIZA ADNAN