fb fb fb fb fb

9 negara belanja AS$100 bilion untuk senjata nuklear – ICAN

Foto REUTERS

GENEVA, 13 Jun- Negara-negara yang memiliki senjata nuklear telah membelanjakan lebih AS$100 bilion (RM472 bilion) untuk senjata tersebut pada tahun lalu, kata Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN), sambil mengkritik kekurangan pengawasan demokratik terhadap perbelanjaan itu.

Dalam laporan tahunannya, ICAN mendedahkan sembilan negara iaitu Amerika Syarikat, China, Rusia, Britain, Perancis, India, Pakistan, Korea Utara dan Israel telah membelanjakan hampir AS$10 bilion lebih berbanding tahun sebelumnya.

Amerika Syarikat kekal sebagai penyumbang terbesar dengan AS$56.8 bilion, diikuti China (AS$12.5 bilion) dan Britain (AS$10.4 bilion).

ICAN, berpangkalan di Geneva dan penerima Hadiah Keamanan Nobel 2017, memainkan peranan penting dalam merangka Perjanjian Pengharaman Penggunaan Senjata Nuklear atau Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons (TPNW) yang mula berkuat kuasa pada 2021.

Setakat ini, 69 negara telah meratifikasi perjanjian itu, dengan 4 lagi menyertai secara terus dan 25 menandatanganinya.

Namun tiada satu pun negara pemilik senjata nuklear menyertainya.

Laporan ICAN tahun ini turut meneliti kos yang ditanggung oleh negara-negara tuan rumah kepada senjata nuklear milik negara lain — perbelanjaan yang menurut mereka sering tidak diketahui oleh rakyat dan ahli parlimen, sekaligus terlepas daripada semakan awam.

Laporan itu juga menyebut bahawa Rusia mendakwa mempunyai senjata nuklear di Belarus, tetapi diragui kesahihannya.

“Setiap pengaturan NATO berkaitan senjata nuklear ditadbir melalui perjanjian rahsia,” kata laporan tersebut.

Penulis bersama laporan tersebut, Alicia Sanders-Zakre berkata

“Ini satu penghinaan terhadap demokrasi apabila rakyat dan wakil mereka tidak tahu senjata nuklear negara asing disimpan di negara mereka atau berapa banyak cukai dibelanjakan untuknya.”

ICAN juga menegaskan bahawa isu senjata nuklear tidak boleh dipisahkan daripada kepentingan korporat yang besar. Pada 2024, sektor swasta meraih sekurang-kurangnya AS$42.5 bilion daripada kontrak berkaitan senjata nuklear.

Terdapat sekurang-kurangnya AS$463 bilion dalam kontrak yang sedang berjalan, dengan tempoh sah yang menjangkau beberapa dekad.

Tahun lalu sahaja, sekurang-kurangnya AS$20 bilion dalam kontrak baru telah diberikan. Di AS dan Perancis sahaja, syarikat-syarikat besar membelanjakan AS$128 juta untuk melobi kerajaan masing-masing, menurut ICAN.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD