fb fb fb fb fb

Selepas 'buat hal' di Malaysia, The 1975 batalkan persembahan di Jakarta, Taipei

(FOTO IG @we.the.fest)

JAKARTA, 23 Julai- Dua hari selepas disenaraihitamkan di Malaysia, Kumpulan band indie rock Britain, The 1975 membatalkan konsert di Indonesia.

Pada Jumaat, kumpulan muzik tersebut menyuntik amarah seluruh rakyat Malaysia gara-gara penyanyi utamanya bertindak mencium pemain bassnya yang juga seorang lelaki dan mencemuh undang-undang anti-LGBTQ negara itu.

Meskipun undang-undang LGBTQ Indonesia kurang ketat daripada undang-undang di negara jiran seperti Malaysia, tetapi beberapa acara telah dibatalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana tentangan di negara majoriti Islam itu.

Pihak berkuasa Malaysia membatalkan festival muzik Good Vibes di Kuala Lumpur selepas memendekkan persembahan kumpulan itu pada hari Jumaat, kerana ucapan Matt Healy yang sarat dengan kata-kata biadab dan ciuman dengan pemain bass kumpulan itu Ross MacDonald.

Kumpulan itu kemudiannya mengumumkan akan membatalkan persembahannya di acara We The Fest di Jakarta, ibu kota Indonesia, serta pertunjukan di Taiwan.

"Dengan penuh kekesalan, The 1975 mengumumkan bahawa persembahan di Jakarta dan Taipei tidak lagi berjalan seperti yang dirancang," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Ahad di laman Instagram We The Fest.

"Kumpulan tersebut tidak pernah mengambil keputusan untuk membatalkan persembahan dengan mudah dan sudah lama tidak sabar untuk beraksi di Jakarta dan Taipei tetapi malangnya, disebabkan keadaan semasa, adalah mustahil untuk meneruskan persembahan yang dijadualkan."

Kerajaan Indonesia dan penganjur festival masih belum mengulas mengenai pembatalan itu.

Konsert berjadual seterusnya kumpulan itu ialah festival Lollapalooza di Amerika Syarikat pada awal Ogos.

Healy memberitahu peminat Malaysia di atas pentas bahawa kumpulan itu telah berfikir untuk menarik diri daripada festival itu dengan berkata: "Saya tidak nampak tujuan menjemput The 1975 ke sebuah negara dan kemudian memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks."

Walaupun beberapa undang-undang kecil tempatan mendiskriminasi individu LGBTQ di Indonesia, undang-undang negaranya tidak pernah menjadikan homoseksualiti sebagai kesalahan jenayah.

Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil mengecam penyanyi itu pada Sabtu selepas mengarahkan pembatalan festival berkenaan.

“Jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat terutama yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya dalam tweet.-AFP


(The 1975)

Media Baharu