MIYAGI, 4 April - Tanggal 11 Mac 2011 lalu, Sekolah Rendah Kadonowaki yang terletak di kawasan Ishinomaki, dilanda tsunami setinggi tujuh meter yang mencecah siling tingkat satu sekolah itu.
Lebih tragis, gempa bumi kuat satu jam sebelum itu, ditambah keganasan gelombang tsunami menyebabkan sebahagian besar struktur konkrit bangunan tiga tingkat di Wilayah Miyagi itu rosak teruk serta musnah dalam kebakaran.
Mujur para guru dan murid di premis berkenaan telah menyelamatkan diri lebih awal ke bukit di belakang sekolah.
Kini selepas 11 tahun, Sekolah Rendah Kadonowaki kembali dibuka dan beroperasi sebagai Pusat Peringatan Bencana sebagai bukti kejadian dahsyat yang menimpa di wilayah tersebut.
(FOTO AVN/NHK)
Pihak kerajaan tempatan memutuskan untuk merobohkan sebahagian bangunan dan mengekalkan selebihnya dengan mengambil kira perasaan penduduk yang tidak mahu mengingati bencana yang mengorbankan ramai orang di sekitar sekolah itu.
Keadaan pejabat guru dan bilik darjah yang musnah dapat diperhatikan dari laluan pejalan kaki yang disediakan di luar struktur dengan pelawat tidak boleh memasuki bangunan sekolah.
Rakaman temu bual dengan pelajar, guru, pegawai sekolah dan penduduk setempat dari kejadian berkenaan turut disediakan, selain model, grafik dan poster yang memperincikan bencana di lokasi itu.
Pusat Peringatan Bencana tersebut dibuka dari Selasa hingga Ahad, dan pada Isnin yang jatuh pada hari kesebelas setiap bulan. – AVN/NHK