fb fb fb fb fb

Pemimpin Hong Kong umum bersara, mahu tumpu kepada keluarga

(Penduduk di pasar Hong Kong pada 31 Mac 2022/AFP)

HONG KONG, 4 April- Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding untuk penggal pentadbiran seterusnya menjelang pemilihan pimpinan baharu bulan depan.

 “Saya akan menyudahkan tempoh lima tahun sebagai Ketua Eksekutif pada 30 Jun dan secara rasmi menamatkan kerjaya saya dalam kerajaan selama 42 tahun,” kata Lam kepada pemberita.

Jelasnya, pemimpin China “memahami dan menghormati,” pilihan tidak akan bertanding untuk penggal seterusnya; menambah bahawa beliau telah memaklumkan Beijing tentang hasratnya itu pada Mac 2021.

Kata Lam, “keinginan peribadi dan aspirasi itu sepenuhnya dibuat berdasarkan pertimbangan saya dan keluarga.”

“Saya meletakkan keluarga sebagai keutamaan dan mereka merasakan masa untuk saya kembali,” katanya.

Pemimpin birokrat, Lam menjadi wanita pertama Hong Kong yang dilantik sebagai pemimpin utama hab kewangan itu pada 2017 selepas diundi oleh jawatankuasa kecil pro-Beijing yang berkuasa memilih jawatan itu.


(Ketua Eksekutif Hong Kong dalam sidang media hari ini/AFP)

Semasa pimpinan Lam selama lima tahun, pentadbirannya dilanda kontroversi apabila Beijing mempertingkatkan kawalan susulan protes demokrasi atau antikerajaan secara besar-besar serta langkah sekatan ketat akibat pandemik COVID-19 sehingga mengasingkan Hong Kong dengan dunia luar.

Ketika ini, rakyat Hong Kong belum ada bayangan jelas tentang siapa yang akan dilantik menjadi pemimpin seterusnya.

Jawatan ketua eksekutif bukan dipilih secara undian popular; salah satu daripada tuntutan utama kumpulan protes yang sudah berjaya diatasi meskipun memakan masa agak lama.

Sebaliknya jawatan itu dipilih menerusi undian 1,500 orang dalam jawatankuasa pro-Beijing.

Pemilihan baharu, pemimpin Hong Kong sepatutnya dibuat pada 8 Mei ini, namun setakat ini tiada calon yang mempunyai prospek tinggi dan realistik secara terbuka menyatakan sedia bertanding.

Bagaimanapun media tempatan melaporkan pemimpin nombor dua Hong Kong, John Lee, yang mempunyai latar belakang dalam perkhidmatan keselamatan, dilaporkan calon yang bakal bersaing.

Menurut Lam, setakat pagi ini, dia belum menerima sebarang peletakan jawatan daripada menterinya, langkah yang perlu dilakukan oleh semua anggota kabinet termasuk Lee, sebelum bertanding. –AFP

 

 

 

Media Baharu