fb fb fb fb fb

PM Hungary, Orban menang selesa, kekal untuk penggal ke-4

(Penduduk menanti keputusan pilihan raya pada malam 3 April 2022 di Budapest/AFP)

BUDAPEST, 4 April- Keputusan rasmi pilihan raya umum Hungary pada Ahad menyaksikan parti Fidesz pimpinan nasionalis Perdana Menteri, Viktor Orban menang selesa untuk penggal ke-4.

Malah parti nasionalis itu meraih majoriti lebih besar berbanding tinjauan awal, selepas kempen dibayangi konflik di negara jiran Ukraine akibat pencerobohan tentera Rusia.

Ketika berucap dihadapan penyokongnya, Orban berkata “kita telah meraih kemenangan besar – kemenangan yang boleh dilihat dari ‘bulan’ dan pastinya dari Brussels.”

Pemimpin berusia 58 tahun itu yang menjadi ketua kerajaan paling lama di Kesatuan Eropah, berdepan cabaran besar daripada pakatan enam parti pembangkang yang sudah lama berusaha menolak revolusi "tidak liberal" parti Fidesz pimpinan Orban yang sudah berkuasa selama 12 tahun berturut-turut.

Menurut pihak berkuasa pilihan raya, selepas 94% kertas undi dikira, Fidesz sudah memperoleh 53% sokongan berbanding hanya 35% di pihak pembangkang, keputusan yang menunjukkan parti Orban mengekalkan majoriti dua pertiga sokongan diperlukan dalam parlimen.

Peter Marki-Zay, 49, wakil konservatif yang mengetuai pimpinan parti pembangkang mengakui kekalahan itu, lewat petang Ahad.


(Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban ketika berucap pada hari
pengundian 3 April 2022/AFP)

“Saya tidak akan menyembunyikan kesedihan dan kekecewaan,” jelasnya kepada penyokong sambil menegaskan parti Fidesz telah menjalankan kempen "kebencian dan pembohongan."

Pilihan raya semalam menyaksikan buat pertama kali lebih 200 pemerhati antarabangsa dan ahli EU memantau proses pilihan raya, selain ribuan sukarelawan tempatan dari ke dua-dua kem (pembangkang dan kerajaan).

Pihak berkusa pilihan raya melaporkan peratusan keluar mengundi mencecah 68.69%, hampir menyamai rekod pada pilihan raya 2018.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan parti sayap kanan, Mi Hazank melepasi jangkaan dan akan membuat penampilan sulung di parlimen selepas mendapat sokongan minimum lima peratus. -AFP

 

 

Media Baharu