(Protes di Colombo pada 4 April 2022 menuntut presiden meletak jawatan/AFP)
COLOMBO, 4 April- Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa membuat tawaran kepada parti pembangkang untuk berkongsi kuasa selepas protes memuncak di seluruh negara menuntut pentadbiran Rajapaksa meletak jawatan.
Protes tercetus dan semakin serius susulan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang semakin serius.
Gotabaya telah mengarahkan pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata berusaha menyuraikan bantahan terhadap apa yang kerajaan sendiri akui sebagai kekurangan barang keperluan yang paling serius sejak kemerdekaan dari Britain pada 1948.
“Presiden menjemput semua parti politik di parlimen agar menerima jawatan kabinet dan menyertai usaha untuk mencari penyelesaian terhadap krisis nasional,” kata kenyataan pejabat Rajapaksa.
Presiden turut menekankan bahawa penyelesaian kepada krisis yang semakin meruncing itu harus ditemui “dalam rangka kerja demokrasi”, memandangkan ratusan penduduk menyertai bantahan sama ada di bandar, pekan dan kampung.
Pelawaan itu dikeluarkan selepas 26 menteri kabinet – setiap anggota kecuali Rajapaksa dan abangnya Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa -- menyerahkan surat peletakan jawatan semasa mesyuarat lewat malam pada Ahad.
Gabenor bank pusat Ajith Cabraal antara yang menyertai senarai panjang peletakan jawatan beramai-ramai pada hari ini.
Tindakan itu membuka jalan kepada ahli politik pemerintah untuk memperkukuh kedudukan.
Pasaran bursa saham telah dihentikan beberapa saat selepas dagangan dibuka berikutan harga jatuh merudum lebih daripada nilai ambang lima peratus yang diperlukan pemberhentian pasaran bursa secara automatik.
(Gambar pada 9 Ogos 2020, Presiden Gotabaya Rajapaksa (kanan)
bersama Mahinda Rajapaksa (kiri)/AFP)
Negara kepulauan Asia Selatan itu berdepan masalah kekurangan makanan dan bahan api yang belum pernah berlaku sebelum ini ditambah rekod inflasi serius yang setakat ini masih belum menunjukkan tanda-tanda positif ke arah pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, kerajaan telah mengumumkan untuk mendapatkan dana bantuan dari Tabung Kewangan Antarabangsa, namun setakat ini perbincangan masih belum bermula.
Pasukan keselamatan (tentera dan polis) telah dikerah dalam keadaan berjaga-jaga apabila arahan perintah berkurung 36 jam tamat pada waktu subuh hari ini.
Pihak keselamatan turut menerima amaran daripada laporan risikan bahawa lebih banyak kekacauan atau bantahan akan berlaku, kata seorang pegawai keselamatan tertinggi. -AFP