BAITULMAQDIS, 5 April- Kesucian Ramadan dicemari dengan keganasan polis Israel yang menggunakan bom pemedih mata dan bom tangan terhadap penduduk yang berkumpul di Pintu Damsyik selepas solat tarawih.
Dalam pertempuran itu, 12 penduduk Palestin cedera manakala 10 lagi ditangkap.
Polis Israel mendakwa, penduduk Palestin ditahan kerana merusuh dan menyerang pegawainya hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera akibat dibaling botol ke arah muka.
Pihak Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam pertempuran itu.
(Polis Israel menyerang penduduk Palestin selepas solat tarawih / Foto AFP)
Pada Ahad, Menteri Luar Israel, Yair Lapid melawat lokasi dan bertemu pasukan polis yang mengawal lokasi tersebut.
Sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett turut bertemu dengan Ketua Perkhidmatan Keselamatan Dalaman, Shin Bet dan Komander Tentera Tebing Barat susulan operasi Israel berhampiran Jenin Sabtu lalu.
Tiga pejuang Palestin terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan khas Israel itu.
Sejumlah 11 orang terbunuh dalam serangan di Israel sejak 22 Mac, termasuk beberapa serangan yang dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh.
Dalam tempoh sama, lapan rakyat Palestin terbunuh termasuk dua penyerang dalam serangan anti-Israel dan enam orang yang dikatakan oleh Israel telah melakukan serangan atau akan melakukannya.
Ramadan tahun lalu, pertempuran berlaku antara tentera Israel dan Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa timur Baitulmaqdis, menyebabkan konflik dahsyat 11 hari antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza.- AFP