fb fb fb fb fb

Selebriti Hollywood sumbang barangan peribadi, bantu mangsa kebakaran

Foto Reuters

LOS ANGELES, 11 Januari - Kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian kawasan Los Angeles minggu ini telah mencetuskan usaha bantuan segera daripada komuniti tempatan, termasuk selebriti terkenal Hollywood yang tampil menyumbangkan barangan peribadi mereka untuk membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Ejen hartanah Jenna Cooper, yang juga pemilik kedai barangan rumah COOP, memulakan inisiatif tersebut dengan meminta bantuan rakan-rakannya untuk menyumbang pakaian dan keperluan lain.

Permintaan itu dengan pantas tersebar melalui rangkaian wanita berpengaruh, termasuk pelakon Sharon Stone dan Halle Berry.

Berry berkongsi di Instagram, "Saya sedang mengosongkan keseluruhan almari saya. Jika anda tinggal di kawasan California Selatan, saya gesa anda lakukan perkara yang sama. Ini adalah sesuatu yang kita boleh lakukan sekarang."

Cooper mengosongkan separuh ruang kedainya untuk mencipta kedai pop-up bagi mangsa kebakaran.

Di sini, mereka boleh mengambil barangan yang diperlukan secara percuma. Ramai penduduk Los Angeles kehilangan keseluruhan kediaman mereka dalam kebakaran yang masih marak pada Jumaat.

Antara sumbangan yang diterima ialah pakaian dalam baharu dari Target, pakaian Zara yang baharu atau hampir baharu, serta kasut mewah seperti Gucci dan Ferragamo.

Di kedai itu, anjing terapi bernama Jackie Robinson menyambut mangsa kebakaran dengan penuh mesra, manakala sukarelawan membantu mereka memilih barangan sesuai mengikut keperluan dan gaya peribadi.

"Kami akan memulakan dengan pelukan, kemudian bertanya, 'Bagaimana gaya anda?' untuk memastikan mereka berasa selesa dengan pilihan mereka," kata Kelly Stone, kakak kepada Sharon Stone yang turut menjadi sukarelawan.

Selain sumbangan pakaian, komuniti Los Angeles turut memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk.

Pelakon, eksekutif, peguam, pemilik restoran, dan ibu-ibu turut menyumbang.

Rangkaian ejen hartanah Cooper di New York juga menghantar kad hadiah untuk membantu mangsa kebakaran.

Lisa Cera, seorang penggaya selebriti yang pernah bekerja dengan keluarga Kardashian, berkata, "Saya kenal orang yang kehilangan segalanya. Walaupun saya tidak mengenali mereka secara peribadi, saya sangat terkesan. Saya bawa apa sahaja yang saya mampu."

Pemilik kedai, Cooper, berkongsi pengalamannya membantu seorang lelaki mencari kasut larian supaya dia boleh kembali berlari di pantai selepas tragedi itu.

"Ini adalah sebuah bandar yang penuh kasih sayang, dan semua orang mahu saling menyokong," katanya.

Ellen Bennett, yang ibunya kehilangan rumah dalam kebakaran di Eaton, memuji usaha ini. "Dalam tragedi ini, sangat indah apabila melihat orang ramai bangkit dan saling membantu," katanya selepas memilih barangan asas untuk ibunya, termasuk sweater, jaket, dan kasut larian.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN