fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 13 maut, bas membawa penganut Katolik terbalik

 



GUADALAJARA, 30 Januari- Sekurang-kurangnya 13 maut selepas bas yang membawa penganut Katolik ke gereja di Mexico terbalik pada Sabtu.

Pihak berkuasa berkata, 10 lagi cedera dalam kemalangan di barat Jalisco itu.

Bas tersebut membawa 23 orang ke bandar San Juan de Los Lagos, yang menganjurkan perayaan Katolik tahunan.

Walaupun edisi tahun ini dibatalkan kerana pandemik COVID-19, para penganut tersebut tetap berdegil untuk menyertai perayaan tersebut.

Kuil Our Lady of San Juan de los Lagos menarik purata dua juta orang setiap tahun.

Lima daripada mereka yang maut dalam kemalangan tersebut tercampak dari kenderaan itu, dan dua lagi di bawah umur.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut bukan perkara luar biasa di Mexico.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 22 cedera dalam rempuhan membabitkan sebuah bas dan trak di negeri utara Sonora September lalu.

Dan pada bulan April, perlanggaran antara dua bas yang membawa pekerja di lombong Sonora menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang maut.- AFP

Media Baharu