fb fb fb fb fb

Sektor perkilangan China terjejas kesan penularan COVID-19

(Gambar diambil pada 20 Mac 2022 menunjukkan pekerja kilang
pembuatan pelitup muka di Lianyungang/AFP)

BEIJING, 31 Mac- Aktiviti perkilangan China merosot pada bulan Mac susulan penularan serius COVID-19 dalam tempoh dua tahun yang menjadi punca kepada perintah berkurung dan penutupan operasi kilang.

Berdasarkan Biro Perangkaan Kebangsaan, Indek Pembelian Pengurus (PMI), petunjuk utama aktiviti pembuatan, susut kepada 49.5, berada bawah paras 50 mata; garis pemisah antara pertumbuhan dan penguncupan.

Ia penguncupan pertama dalam tempoh lima bulan dan berada bawah paras jangkaan ahli ekonomi berdasarkan tinjauan Bloomberg.

Kejatuhan itu berlaku tatkala pihak berkuasa bertungkus lumus untuk menghapuskan wabak COVID-19 dengan sekatan dan penutupan di hab perkilangan utama seperti Shenzhen di bahagian selatan dan Changchun di timur laut China.

“Baru-baru ini, kluster jangkitan baharu berlaku di banyak tempat di China,” kata pegawai statistik kanan NBS, Zhao Qinghe menerusi kenyataan pada Khamis.

"Ditambah dengan peningkatan ketara dalam ketidakstabilan geopolitik antarabangsa, aktiviti pengeluaran dan operasi perusahaan China juga telah terjejas," tambahnya.


(Gambar diambil pada 31 Mac 2022 menunjukkan pekerja
sebuah kilang di bandar Fuyang/AFP)

Dalam tempoh beberapa minggu, China merekodkan ribuan kes positif COVID-19 sehari, selepas hampir dua tahun berjaya mengawal penularan kes dalam negara selaras strategi sifar kes.

Sesetengah syarikat mengurangkan atau menghentikan operasi pengeluaran buat sementara disebabkan COVID-19 sekali gus memberi kesan kepada rantaian logistik.

Dalam perkembangan berkaitan PMI bukan pembuatan juga merosot kepada 48.4 daripada 51.6 mata, menunjukkan industri perkhidmatan amat terjejas disebabkan pandemik.

Ketua Ekonomi Nomura China, Lu Ting menjangkakan PMI akan terus merudum “kesan perintah sekatan pergerakan termasuk penjarakan sosial yang semakin ketat.”

“Komitmen Beijing untuk mengekalkan strategi sifar kes COVID-19 untuk mengelak penularan varian Omicron dilihat akan memberi kesan besar kepada ekonomi China, katanya kepada AFP.

 

 

Media Baharu