fb fb fb fb fb

Sekatan bantuan Israel tidak wajar, tidak boleh diterima- PM Singapura

Presiden Perancis Emmanuel Macron (kiri) dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berjabat tangan selepas sidang media di Singapura hari ini / Foto AFP

SINGAPURA, 30 Mei - Sekatan yang dikenakan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak wajar sama sekali, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Jumaat.

“Pada pandangan kami, ia juga mungkin merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron yang sedang mengadakan lawatan negara sulung ke Singapura sejak Khamis.

Wong berkata walaupun Singapura mengiktiraf kebimbangan keselamatan Israel, tindak balas negara itu telah melampaui batas sehingga mengakibatkan bencana kemanusiaan yang dahsyat.

Beliau berkata Singapura menyertai masyarakat antarabangsa dalam menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, perlindungan terhadap orang awam diberi keutamaan dan semua tebusan dibebaskan.

Tambahnya, di luar krisis semasa, Singapura menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air mereka sendiri.

“Ini hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara yang dirundingkan, kerana ia kekal sebagai satu-satunya jalan ke arah penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan bagi konflik panjang antara Israel dan Palestin,” katanya.

Wong berkata Singapura akan menyertai usaha antarabangsa ke arah penyelesaian jangka panjang konflik itu, termasuk persidangan antarabangsa anjuran Perancis dan Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung bulan depan. - Bernama 

 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN