BLATTEN, 30 Mei - Penduduk di beberapa komuniti di pergunungan Alp Swiss berjaga-jaga pada Jumaat berikutan paras air sungai berhampiran meningkat dan melimpah di belakang empangan semula jadi yang terbentuk daripada runtuhan batu dan bongkah ais akibat kejadian glasier runtuh awal minggu ini.
“Kami meminta penduduk membuat persiapan agar mereka boleh meninggalkan rumah secepat mungkin,” menurut kenyataan pihak berkuasa perbandaran Steg-Hohtenn dan Gampel-Bratsch yang dimuat naik di laman web rasmi perbandaran itu lewat Khamis.
Kawasan terjejas terletak kira-kira 20 kilometer di hilir dari perkampungan Blatten yang ditimbus runtuhan glasier pada Rabu.
Serpihan runtuhan telah menyekat aliran Sungai Lonza pada ketinggian sekitar 1,500 meter, menyebabkan air bertakung di belakang timbunan serpihan tersebut.
Pihak berkuasa berharap air akan mengalir keluar secara beransur-ansur melalui laluan selamat, namun memberi amaran bahawa ia berisiko melimpah melepasi kerucut runtuhan dan berkemungkinan mencetuskan gelombang banjir atau aliran lumpur jika halangan tersebut dihanyutkan ke hilir.
Seramai 300 penduduk Blatten telah diarahkan berpindah dalam masa singkat minggu lalu.
Seorang lelaki berusia 64 tahun yang tetap berada di kawasan itu meskipun diarahkan berpindah masih dilaporkan hilang.- Bernama