LIVERPOOL, 30 Mei - Seorang lelaki Britain dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah selepas merempuh sekumpulan penyokong Liverpool ketika perarakan kemenangan kelab itu Isnin lalu.
Paul Doyle, 53 tahun. dari Derby Barat Liverpool, didakwa atas tujuh kesalahan termasuk memandu berbahaya dan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan niat.
Doyle hadir di Mahkamah Majistret Liverpool pada pagi Jumaat dan mengesahkan nama, alamat dan tarikh lahirnya sebelum kes itu ditangguhkan.
Kejadian berlaku di pusat bandar Liverpool yang sesak pada petang Isnin, dengan kira-kira sejuta penyokong berkumpul meraikan kejayaan pasukan mereka.
Pihak berkuasa menegaskan insiden berkenaan tiada kaitan dengan unsur keganasan.
Rakaman video tular menunjukkan kenderaan itu meluru ke kawasan sesak dan melanggar beberapa orang dan sekurang-kurangnya empat orang digilis tayar kereta. - Reuters