HAMILTON, 24 Januari- Sekurang-kurangnya satu juta kanak-kanak di Gaza memerlukan sokongan segera dalam kesihatan mental dan psikososial bagi menangani tekanan, kebimbangan serta pemikiran untuk membunuh diri, menurut Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, seperti dilaporkan Agensi Anadolu.
"Gencatan senjata telah memberikan kelegaan penting daripada permusuhan tanpa henti kepada rakyat Palestin," kata Tom Fletcher semasa sesi Majlis Keselamatan berhubung keadaan kanak-kanak di Gaza.
Beliau menekankan kepentingan memastikan semua pihak mematuhi gencatan senjata dan menambah bahawa "akses kemanusiaan yang selamat dan tidak terhalang, bersama ketiadaan permusuhan serta hampir lengkapnya penghapusan kegiatan penjarahan jenayah dalam beberapa hari kebelakangan ini, telah meningkatkan kemampuan kami untuk bertindak."
Menggambarkan kesan serius konflik itu, Fletcher berkata "Kanak-kanak telah terbunuh, kebuluran dan meninggal dunia akibat kesejukan. Mereka telah cacat, menjadi yatim piatu atau terpisah daripada keluarga mereka. Anggaran konservatif menunjukkan lebih 17,000 kanak-kanak kini tanpa keluarga di Gaza."
Fletcher juga menyatakan kira-kira 150,000 wanita hamil dan ibu baharu "sangat memerlukan perkhidmatan kesihatan," dengan menyebut bahawa sesetengah bayi di Gaza "meninggal dunia sebelum sempat menarik nafas pertama turut maut bersama ibu mereka semasa bersalin" akibat serangan berterusan Israel.
"Sejuta kanak-kanak memerlukan sokongan kesihatan mental dan psikososial untuk tekanan, kebimbangan dan pemikiran membunuh diri," katanya, memetik laporan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Fletcher menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera.
"Di semua peringkat, organisasi dan agensi kemanusiaan bersatu untuk mencapai matlamat kemanusiaan kami. Di tengah-tengah usaha ini, seperti biasa, adalah UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat). Namun, kami tidak mampu melakukannya sendirian."
Beliau menegaskan keperluan untuk "meningkatkan penghantaran bantuan secara besar-besaran" ke Gaza dan menyatakan bahawa "Flash Appeal" 2025 PBB memerlukan US$4.07 bilion untuk memenuhi keperluan tiga juta penduduk di Gaza dan Tebing Barat, dengan sebahagian besar diperuntukkan untuk Gaza.
"Membiayai rayuan ini adalah penting untuk memenuhi keperluan besar dan mengekalkan gencatan senjata," katanya.
Fletcher turut melaporkan "jumlah rekod korban, perpindahan dan sekatan akses" di Tebing Barat yang diduduki.
"Trend ini semakin meningkat sejak pengumuman gencatan senjata. Penduduk penempatan haram Israel telah menyerang kampung Palestin, membakar rumah dan harta benda," katanya.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sekatan terhadap penduduk Palestin kepada keperluan asas oleh Israel, termasuk "penahanan secara besar-besaran di seluruh Tebing Barat."
"Saya amat bimbang dengan keadaan di Jenin, di mana operasi ketenteraan Israel melibatkan tembakan helikopter, serangan udara, dan pasukan darat telah meragut nyawa serta menyebabkan kemusnahan infrastruktur asas dan perpindahan," katanya.
Fletcher menggesa majlis keselamatan untuk "memastikan undang-undang antarabangsa dihormati di seluruh wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Gaza dan Tebing Barat, serta Baitulmaqdis Timur. Orang awam mesti dilindungi dan keperluan asas mereka dipenuhi."- BERNAMA-AA