fb fb fb fb fb

Scotland pertimbang boikot Israel secara rasmi

Kenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas Israel / Foto BERNAMA

LONDON, 7 Ogos - Kerajaan Scotland sedang mempertimbangkan cadangan untuk memboikot Israel secara rasmi susulan gesaan oleh pemimpin Parti Hijau, Ross Greer kepada Menteri Pertama, John Swinney supaya menerima pakai prinsip Gerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gerakan BDS bertujuan mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas Israel, sama seperti boikot antarabangsa terhadap apartheid Afrika Selatan pada era lampau. Usaha ini menyasarkan syarikat yang terlibat dalam pendudukan, perdagangan senjata dan aktiviti penempatan haram Israel.

Menurut laporan akhbar The National pada Khamis, Greer menggesa pelaksanaan langkah menyeluruh termasuk garis panduan rasmi kepada syarikat-syarikat, pemotongan pembiayaan kepada firma senjata yang mempunyai kaitan dengan Israel, serta memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk memulaukan syarikat yang terlibat dalam pendudukan wilayah Palestin.

Dalam surat kepada John Swinney, Greer menyeru kerajaan supaya mengeluarkan garis panduan rasmi kepada syarikat Scotland bagi menamatkan perdagangan dengan Israel, sepertimana langkah yang diambil terhadap Rusia pada 2022 selepas bermulanya perang di Ukraine.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk memansuhkan sebahagian Akta Kerajaan Tempatan UK 1988 yang kini menyekat pihak berkuasa tempatan daripada menolak syarikat berdasarkan kriteria politik.

Selain itu, Greer mencadangkan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Pembinaan Kekayaan Komuniti untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan memulaukan syarikat yang terlibat dalam “pendudukan haram wilayah Palestin.”

Beliau turut menggesa agar pembiayaan awam kepada syarikat senjata yang telah membekalkan kelengkapan kepada Israel dihentikan dan agar kerajaan memutuskan hubungan dengan semua syarikat lain yang secara langsung bersubahat dengan pendudukan Zionis.

“Jenayah kemanusiaan terburuk pada zaman ini sedang dilakukan terhadap rakyat Palestin di depan mata kita. Scotland mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak. Pendekatan yang sama pernah membantu menamatkan apartheid di Afrika Selatan. Kini kita harus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Jurucakap Kerajaan Scotland dalam reaksinya berkata: “Kerajaan Scotland telah berulang kali menyeru agar gencatan senjata segera dan berkekalan dilaksanakan, pembebasan semua tawanan tanpa syarat dan peningkatan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kerajaan Scotland akan terus mendesak Kerajaan UK untuk mengiktiraf negara Palestin yang berdaulat sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara demi keamanan berkekalan di rantau itu. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN