WASHINGTON, 5 Mei - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akui beliau tidak pasti sama ada sebagai presiden beliau wajib mematuhi Perlembagaan AS.
Dalam temu bual bersama NBC News “Meet the Press with Kristen Welker” yang disiarkan pada Ahad, Trump pernah menyuarakan kemungkinan bertanding untuk jadi presiden kali ketiga.
Pindaan ke-22 Perlembagaan Amerika jelas menyatakan bahawa “tiada individu boleh dipilih sebagai Presiden lebih daripada dua kali."
Cadangan untuk bertanding penggal ketiga turut mendapat kecaman daripada pakar undang-undang dan perlembagaan.
Pada Mac lalu, Trump berkata beliau “tidak bergurau” mengenai hasratnya itu, sambil menambah kononnya terdapat “cara” untuk menjadikannya kenyataan.
Bagi meminda Perlembagaan, Trump memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di kedua-dua dewan Kongres serta kelulusan 38 daripada 50 dewan perundangan negeri.
Namun, Trump menegaskan dalam temu bual itu:
“Ini bukan sesuatu yang saya mahu lakukan. Saya mahu empat tahun yang hebat dan menyerahkannya kepada seseorang, sebaik-baiknya seorang Republikan hebat untuk meneruskannya.”
Beliau turut menyebut nama Naib Presiden JD Vance, yang digelar sebagai “individu hebat dan bijak,” serta Setiausaha Negara Marco Rubio.
Ketika ditanya sama ada semua orang, termasuk warganegara dan bukan warganegara, berhak mendapat proses undang-undang yang adil, Trump menjawab:
“Saya bukan peguam. Saya tidak tahu.”
Tindakan keras Trump menghantar pulang pendatang tanpa dokumen, termasuk tanpa perbicaraan, mendapat banyak kritikan.
Namun beliau mempertahankan langkah itu dengan alasan “darurat nasional.”- AFP