GAZA, 9 November- Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan pada Sabtu bahawa serangan udara Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin sepanjang malam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel pula melaporkan mereka telah menghapuskan puluhan pejuang militan di utara wilayah tersebut.
Serangan udara telah menyasarkan khemah-khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di kawasan selatan Khan Yunis, mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan orang maut, termasuk kanak-kanak dan wanita, menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, kepada AFP.
Palang Merah Palestin turut mengesahkan jumlah korban tersebut, dengan mengatakan 11 yang lain mengalami kecederaan akibat serangan itu dan telah dibawa ke Hospital Nasser.
Serangan udara kedua mengorbankan lima orang, termasuk kanak-kanak dan mencederakan sekitar 22 yang lain apabila "jet pejuang Israel menyerang sekolah Fahad Al-Sabah", yang telah dijadikan tempat perlindungan bagi beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal di daerah Al-Tuffah, Gaza City, tambah Bassal.
Mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Al-Ahli Arab, tambahnya lagi.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Israel telah menyerang beberapa sekolah yang telah dijadikan tempat perlindungan, di mana Israel menyatakan bahawa pejuang Palestin sedang beroperasi di situ.
Sementara itu, tentera Israel menyatakan pasukan mereka telah membunuh "puluhan pengganas" di kawasan Jabalia di utara Gaza, di mana mereka telah menjalankan operasi udara dan darat yang menyeluruh selama lebih sebulan untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula.
Tentera Israel juga membunuh beberapa pejuang di kawasan Rafah di selatan wilayah tersebut, tambah pihak tentera.
Ketika ini, tentera Israel juga sedang terlibat dalam perang melawan Hezbollah di Lubnan.
“Sepanjang hari yang lepas, IAF (pasukan udara Israel) telah menyerang lebih daripada 50 sasaran pengganas di Lubnan dan Jalur Gaza,” kata tentera dalam satu kenyataan.
“Antara sasaran yang diserang termasuklah struktur ketenteraan, kemudahan penyimpanan senjata, dan pelancar,” tambahnya.-AFP