fb fb fb fb fb

Sanseito menang besar, retorik anti-imigran tarik sokongan pengundi

Foto REUTERS

TOKYO, 21 Julai -Parti berhaluan kanan, Sanseito muncul sebagai salah satu pemenang terbesar dalam pilihan raya Dewan Tinggi Jepun pada Ahad.

Parti itu meraih sokongan melalui retorik anti-imigran, berjanji pemotongan cukai dan peningkatan perbelanjaan kebajikan.

Sanseito berjaya memenangi 14 kerusi dalam dewan yang mempunyai 248 kerusi, tambahan kepada satu kerusi yang dimenanginya tiga tahun lalu. Di Dewan Rendah yang lebih berkuasa, parti itu kini memiliki tiga kerusi sahaja.

"Frasa Japanese First bermaksud membina semula kehidupan rakyat Jepun dengan menolak globalisme. Saya tidak pernah mengatakan bahawa kita perlu melarang sepenuhnya warga asing atau mengusir semua pendatang dari Jepun," kata ketua parti Sohei Kamiya, 47 tahun, dalam satu wawancara bersama penyiar tempatan Nippon Television selepas keputusan diumumkan.

Pilihan raya itu menyaksikan gabungan pemerintah yang diketuai Perdana Menteri Shigeru Ishiba daripada Parti Demokratik Liberal (LDP) bersama parti gabungan Komeito kehilangan majoriti dalam Dewan Tinggi.

Kekalahan ini menambah tekanan selepas kehilangan majoriti di Dewan Rendah pada Oktober lalu.

Parti Sanseito yang lahir di platform YouTube ketika pandemik COVID-19, dikenali kerana menyebarkan teori konspirasi mengenai vaksin dan kumpulan elit global. Ia mula memasuki arus politik perdana melalui kempen bertemakan "Japanese First". - REUTERS

TETITIA YUSOFF