fb fb fb fb fb

Projek empangan terbesar di China cetus kebimbangan India, Bangladesh

Foto REUTERS

HONG KONG, 21 Julai -China mengumumkan akan memulakan pembinaan empangan hidroelektrik terbesar di dunia yang akan dibina di pinggir timur Dataran Tinggi Tibet, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

Perdana Menterinya Li Qiang berkata, projek itu dianggarkan menelan belanja sekitar AS$170 bilion (RM800 bilion) dan merupakan sebahagian daripada usaha China untuk memperluas penggunaan tenaga boleh baharu serta mengurangkan pelepasan karbon.

"Empangan ini akan terdiri daripada lima stesen hidroelektrik bertingkat yang terletak di bahagian hilir Sungai Yarlung Zangbo sungai yang kemudiannya dikenali sebagai Sungai Brahmaputra apabila memasuki wilayah Arunachal Pradesh dan Assam di India, sebelum mengalir ke Bangladesh,"katanya.

Li menyifatkan projek hidroelektrik itu sebagai “projek abad ini” dan menegaskan bahawa pemuliharaan ekologi perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kerosakan alam sekitar, lapor Xinhua pada Sabtu.

Bagaimanapun, China tidak memberikan butiran mengenai jumlah penduduk yang mungkin terpaksa berpindah atau kesan terhadap ekosistem tempatan.

India dan Bangladesh telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya meskipun China mendakwa projek tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada alam sekitar atau bekalan air ke hilir.

China sebelum ini telah memulakan penjanaan tenaga hidroelektrik di bahagian hulu sungai tersebut, yang mengalir dari barat ke timur wilayah Tibet. - REUTERS

TETITIA YUSOFF